Sejarah Penubuhan

Di bawah daerah seribu rahmat, Bagan Datoh, Perak terkenal dengan tanaman komersial kelapa.  Dengan permintaan yang tinggi terhadap produk berasaskan kelapa, Tuan Haji Omar telah menubuhkan satu perniagaan yang bermodalkan RM2500.00 di mana permulaannya hanyalah menjadi pembekal kelapa bulat di sekitar kawasan Bagan Datoh dan pusat pengumpulannya hanyalah di depan rumah beliau.  Melihat potensi dan melalui pengalaman yang lama dalam bidang ini, beliau mengambil peluang untuk memperbesarkan perniagaannya  dengan membuka kedai memperoses santan di Ipoh, Perak. 

Dengan modal yang dapat dikumpul tanpa membuat pinjamam, bermulanya sejarah apabila syarikat OMAR BIN SOFIAN ditubuhkan pada tanggal 8 Julai 1996 dan kedai pertamanya di Pasar Besar Ipoh dan produk utamanya adalah santan kelapa.  Pada permualannya tenaga kerja di kedai berkenaan hanyalah 2 orang sahaja, namun dengan sambutan yang di luar jagkaan daripada pelanggan-pelanggan yang datang, pekerja ditambah sehingga menjadi 6 orang. 

Melihat perniagaan semakin berjaya, pihak Peladang Kawasan menawarkan insentif bantuan kewangan dan khidmat nasihat kepada Tuan Haji Omar untuk membesarkan lagi perniagaan ini.  Dengan insentif yang diberikan itu, beliau telah membina satu pusat pengumpulan hasil-hasil pertanian khas untuk pekebun-pekebun kecil menjual hasil tanamannya untuk di pasarkan keluar.  Pusat Hasil-hasil Pertanian yang dibina ini telah dirasmikan pada tanggal 11 Mac 2007 oleh Yang Berbahagia Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, Menteri Pertahanan dan merangkap Ahli Parlimen Bagan Datoh pada ketika itu.  Perniagaan ini juga telah membuka banyak peluang pekerjaan dan juga menaikan taraf kehidupan masyarakat sekitar khususnya di kawasan Rungkup.

Dengan pembukaan pusat pengumpulan hasil pertanian yang besar dan baru, terdapat pula produk-produk baru selain daripada kelapa tua dan kelapa muda.  Pelbagai jenis pisang, tebu dan ubi kayu yang ditanam oleh penduduk sekitar dijual dan dikumpulkan di pusat pengumpulan tersebut.  Melihat produk-produk pertanian yang semakin banyak ditanam di daerah ini, Tuan Haji Omar terpanggil untuk memasarkan produk-produk tersebut di Selangor kerana permintaan yang sangat tinggi di sana.  Oleh sebab itu, pada tahun 2001, Tuan Haji Omar telah membuka satu lagi cawangan baru iaitu di Pasar Borong Selangor dengan menjual produk utama berasaskan kelapa dan pelbagai jenis pisang.

Bermula dengan satu cawangan di Ipoh dan satu di Bagan Datoh, perniagaan ini mula bertapak di Selangor dan telah membuka lagi dua kedainya di Pasar Borong Selangor.  Barisan produk telah ditambah mengikut keperluan pelanggan dan mula menjual buah-buahan tempatan dan juga buah-buahan import.

Syarikat yang diterajui oleh Tuan Haji Omar telah mengorak langkah dengan membuka Pusat Belian Kelapa Sawit pada tanggal 1 Mei 2014.  Tertubuhnya Pusat Belian Kelapa Sawit ini adalah disebabkan semakin banyak ladang - ladang sawit yang baharu dibuka di kawasan ini dan juga di atas permintaan dan sokongan penduduk setempat.

Setelah 20 tahun menjalankan perniagaan, Tuan Haji Omar telah mendapat bantuan daripada anak-anak dan juga menantunya untuk meneruskan perniagaan ini.  Bagi mengikut arus semasa yang semakin mencabar, syarikat Omar Bin Sofian telah meneruskan legasinya di bawah penjenamaan dan pengurusan yang baru dan moden iaitu Agromar Enterprise.


 <Utama | Visi & Misi>

 
Joomla templates by Joomlashine